Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebagai pelan menyeluruh kerana mengambil kira keluhan, keperluan dan kebajikan pelbagai lapisan masyarakat, industri serta perniagaan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan sokongan dan penghargaan terhadap langkah kerajaan dalam menangani impak COVID-19 kepada rakyat dan ekonomi negara melalui pelan bernilai RM35 bilion itu.
Beliau berkata Seri Paduka Baginda bertitah melalui pelan itu, kerajaan perlu segera dan berkesan dalam menangani impak wabak COVID-19 kepada ekonomi negara, khususnya kemudaratan terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kelangsungan hidup perniagaan dan rakyat, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan nasib pekerja di negara ini, yang terkesan akibat impak wabak ini kepada ekonomi negara.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan secara inklusif ini akan menjadi pemangkin kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi jangka pendek negara serta dapat mempertingkatkan keyakinan dan sentimen rakyat, perniagaan dan pelabur asing,” katanya, dalam kenyataan, di sini hari ini.